ITBM Sedang Membina Alat Penterjemah Rumi-Jawi Komprehensif

Baca versi Jawi di sini.

Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) kini dalam proses merangka satu produk baharu untuk menterjemah tulisan Rumi ke tulisan Jawi, yang dikenali sebagai e-Jawi.

Menurut Pengurus Besar ITBM, Sakri bin Abdullah, produk e-Jawi ini akan membantu masyarakat mendapatkan ejaan Jawi yang tepat, melalui satu sistem yang akan berfungsi seperti alat penterjemah ‘Google Translate‘.

Pengerusi ITBM merangkap Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YB Sabri bin Azit melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, alat ini akan dapat menterjemahkan perkataan asal dalam Bahasa Inggeris atau Melayu kepada tulisan Jawi.

“… Pada peringkat awal dari segi ketepatan mungkin perlu diperbaiki tetapi dengan asas yang ada ia bakal dikembang dengan lebih baik.”

Laman Facebook YB Sabri bin Azit

Secara kebetulan, baru-baru ini saya telah menulis dua rencana mengenai masalah ketidakcekapan sistem penukaran Rumi-Jawi yang sedia ada, yang mana ramai pengguna tidak sedar dan mengakibatkan pelbagai kesalahan dalam tulisan Jawi yang disiarkan.

Sila baca: Kelemahan “Jawi Converter” Yang Perlu Kita Sedari

Syabas kepada ITBM kerana berusaha mencari penyelesaian kepada masalah sistem alat penukar sedia ada.

Semoga ITBM dan DBP, yang merupakan dua institusi utama kerajaan dalam memartabadkan bahasa akan terus berusaha memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi, iaitu sistem tulisan asal bahasa kebangsaan kita.

Dalam usaha untuk membina masyarakat yang makmur, kerajaan harus melipatgandakan usaha memelihara warisan negara agar tidak hilang ditelan zaman.

Generasi yang tidak mengenal warisan, sejarah serta identiti negara bangsa akan hilang identiti diri sebagai anak watan Tanah Melayu.

5 Kesilapan dan Kesalahtanggapan Lazim Dalam Menulis Jawi

Baca versi Jawi di sini.

Dalam era moden di mana tulisan Jawi semakin jarang digunapakai, tidak ramai dalam kalangan kita yang mahir tentang sistem menulis tulisan Jawi; ini termasuk diri saya sendiri yang sering membuat berbagai kesilapan.

Sepanjang hampir enam bulan saya menulis teks Jawi di laman blog saya ini, banyak perkara yang telah saya pelajari tentang sistem tulisan Jawi hasil daripada pembacaan serta teguran daripada guru-guru serta rakan-rakan saya.

Saya akan mengongsikan ilmu yang telah saya perolehi; semoga ianya dapat memberi manfaat khasnya kepada pembaca yang masih baharu berjinak-jinak dengan tulisan Jawi seperti saya.

1. Jawi menggunakan nombor-nombor Arab

Anggapan bahawa dalam tulisan Jawi nombor ditulis menggunakan nombor Arab (contohnya: ١, ٢, ٣) adalah kurang tepat kerana walaupun penggunaan nombor Arab boleh diterima, tetapi cara yang tepat ialah menggunakan nombor seperti di dalam tulisan Rumi (1, 2, 3)

Namun nombor Arab wajib digunakan dalam menandakan kata ganda seperti “surat-surat” yang menjadi “سورت٢”.

2. Tanda kata Jawi diambil dari tulisan Arab

Ketika menulis di dalam Jawi, ramai yang menggunakan tanda kata dari tulisan Arab termasuk tanda koma berbentuk “،” dan tanda koma bertitik berbentuk “؛”. Sebenarnya, tanda kata Jawi yang diambil dari tulisan Arab hanyalah tanda soal “؟”, manakala tanda koma Jawi adalah berbentuk “⹁”, dan tanda koma bertitik adalah berbentuk “⁏”.

Kesilapan ini turut dibuat oleh alat-alat penukar tulisan Rumi-Jawi, di mana kebanyakannya menukarkan tanda koma Rumi kepada tanda koma Arab, dan bukannya tanda koma Jawi.

3. Kaf berbentuk ك berbanding Kaf berbentuk ک

Perkara ini telah saya tulis di dalam salah satu tulisan saya yang terdahulu mengenai tulisan Jawi. Bentuk huruf Kaf di dalam tulisan Jawi sebenarnya adalah berbeza daripada bentuk Kaf di dalam tulisan Arab (ك). Jawi menggunakan Kaf yang bentuknya mirip bentuk Kaf ketika berada di tengah-tengah iaitu “ک”.

Perkara yang sama terpakai bagi huruf Ga di mana bentuknya adalah seperti Kaf Jawi (ݢ) dan bukannya seperti Kaf Arab seperti yang sering digunakan oleh orang ramai termasuk alat penukar tulisan Rumi-Jawi.

4. Beberapa kesilapan lazim dalam ejaan

Ramai yang mengikut sistem ejaan Rumi apabila mengeja di dalam Jawi, terutamanya dalam menulis imbuhan seperti “di sana” dan “ke atas”, yang walaupun terpisah di dalam ejaan Rumi, tetapi ia sebenarnya bersambung apabila di dalam ejaan Jawi iaitu “دسان” dan “کأتس”.

Jika dua bunyi vokal daripada imbuhan awalan dan kata dasar atau imbuhan akhiran dan kata dasar bertemu seperti “ke-ada-an”, maka Hamzah di atas Alif akan diguna (کأدأن).

5. Sistem alat penukar tulisan Rumi-Jawi adalah tepat

Ramai yang menganggap bahawa alat-alat penukar tulisan Rumi-Jawi mampu menukar teks Rumi kepada teks tulisan Jawi dengan tepat, walhal alat-alat ini sepatutnya hanya diguna bagi memudahkan tugasan dan hasilnya perlu disemak semula kerana terdapat beberapa kesilapan lazim hasil penggunaan aplikasi sebegini.

Sila baca: Kelemahan “Jawi Converter” Yang Perlu Kita Sedari

Kelemahan “Jawi Converter” Yang Perlu Kita Sedari

Baca versi Jawi di sini.

Kita berbangga dengan semangat membara rakyat Malaysia untuk mengembalikan kegemilangan tulisan Jawi, iaitu tulisan asal bahasa Melayu.

Adanya alat dalam talian seperti laman sesawang Ejawi yang menyediakan khidmat pertukaran tulisan Rumi ke Jawi telah membantu mempermudahkan kerja kita.

Namun, malang sekali apabila ramai yang tidak menyedari bahawa versi Jawi yang dihasilkan melalui aplikasi itu mesti disemak kembali ejaan dan formatnya kerana terdapat beberapa kesalahan yang sering berlaku.

Proses ini bukan senang untuk dilakukan, kerana ia memerlukan pembacaan yang teliti dan juga kesabaran yang tinggi, apatah lagi bagi saya yang masih dalam proses mempelajarinya tulisan Jawi.

Banyak perkara yang harus diambil berat apabila kita mahu menukar tulisan Rumi kepada Jawi dan saya sering merujuk kepada akhbar Utusan versi Jawi untuk memahirkan diri dan lebih memahami proses ini.

Ejaan istilah sasar dalam tulisan Jawi adalah mengikut sebutan, berbeza dengan ejaan Rumi di mana ejaannya akan mirip atau sama dengan ejaan dari istilah sumber dan tidak semestinya mencerminkan sebutannya secara sepenuhnya.

Saya mengambil contoh tangkap layar di bawah:

Saya mengira hantaran tersebut harus dibaca, “Alhamdulillah, kes baru Covid-19 dah makin kurang menurut page official KKM. Harap takda (tiada) gelombang ke-3”.

Kita perhatikan contoh kesalahan ejaan yang sering berlaku hasil penggunaan aplikasi ini:

  1. Ejaan Covid-19 bukanlah “چۏيد-١٩”, tetapi sebaliknya “کوۏيد-19” kerana sebutannya adalah “/’kəʊvɪd/” dan bukannya “/’tʃɒvɪd/”, namun alat-alat seperti Ejawi akan menukarkan huruf “C” dengan huruf “چ” kerana lazimnya dalam bahasa Melayu huruf “C” berbunyi “/tʃ/”, seperti “cemara” atau “cereka”. Namun Covid-19 ialah kata nama khas yang mana huruf “C” bunyinya “/k/” dan harus dieja menggunakan huruf “ک” dan bukannya “چ”.
  2. Perkataan “ققم” bukanlah versi Jawi untuk “KKM” iaitu akronim kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Kebanyakan alat penukar tulisan Rumi-Jawi mengidentifikasi akronim sebagai satu perkataan, kerana sistemnya tidak dapat membezakan di antara akronim dan perkataan.
    Cara yang sepatutnya adalah sama ada menulis setiap huruf dalam akronim tersebut di dalam ejaan Jawi iaitu “کي کي عيم”, ataupun yang lebih baiknya menulis nama penuh kementerian tersebut iaitu “کمنترين کصيحتن مليسيا”.
  3. Perkataan singkatan “takda” ditukar kepada “تقد”, satu perkataan yang tidak wujud dan sukar untuk dikenal pasti.

Di bawah adalah satu lagi hantaran di laman Facebook yang sepatutnya berbunyi, “Wah, bangga pulak (pula) rasa bila PM sebut grup Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official 😅”.

Saya meneka bahawa tulisan ini juga ditulis dengan bantuan aplikasi menukar tulisan Rumi kepada Jawi tanpa disemak ejaannya:

  1. Perkataan “Facebook” dieja “فاچبووق” yang kalau kita baca berbunyi lebih kurang “Fachebuwuq” atau “/fɑtʃəbuwuk/”. Facebook adalah perkataan Inggeris, maka ianya boleh ditulis dalam tulisan Rumi di dalam tanda petikan, atau jika masih mahu menulis dalam tulisan Jawi, eja perkataan tersebut mengikut sebutannya iaitu “فيسبوک”.
  2. Perkataan “اوففيچيال” jika dibaca ia akan berbunyi lebih kurang “ofefichiyal” atau “/ɒfəfɪtʃiːɑːl/”. Maka “official” sepatutnya di eja “اوفيشل” atau tulis nama penuh grup Facebook tersebut iaitu “Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official” di dalam tulisan Rumi.

Inilah di antara contoh kesalahan ejaan Jawi yang mungkin tidak disedari akibat kita menyerahkan sepenuhnya kerja mengeja Jawi kepada aplikasi komputer tanpa menyemak kembali hasilnya.

Itu belum termasuk istilah-istilah yang belum didaftar ke dalam alat penukar tulisan itu, seperti “Sabah” dan “Kamaruddin” bagi sesetengah versi alat penukar tulisan, yang akan menukarnya menjadi “سابه” dan “کامروددين”, walaupun ejaan sebenarnya adalah “صباح” dan “قمر الدين”.

Saya belum mahir mengeja di dalam Jawi dan kadang kalanya saya tidak tahu bahawa ejaan yang saya tulis itu adalah salah. Contohnya ketika saya menulis rencana tentang Pilihan Raya Kecil Kimanis, saya mengeja “Sabah” sebagai “سابه” dan setelah ditegur oleh guru saya, Profesor Dato’ Naser Disa barulah saya tahu bahawa ejaan yang betul ialah “صباح”.

Pada pendapat saya, tidak salah untuk kita menggunakan alat-alat penukar tulisan Rumi ke Jawi untuk memudahkan urusan kita tetapi kita harus menyemaknya kembali dan membuat pembetulan jika ada kesalahan.

Dalam kita bersemangat untuk menggunakan tulisan Jawi, biarlah ianya dilakukan dengan penuh tertib dan teliti. Maka, kita mesti mempelajari ejaan Jawi dengan betul supaya kita mampu menjaga warisan ini dengan sempurna agar tulisan Jawi tidak bertukar menjadi satu sistem tulisan yang cacamarba.

Lihat proses penciptaan versi Jawi bagi rencana ini di sini.

کلماهن الات ڤنوکر توليسن جاوي-رومي يڠ ڤرلو کيت سداري

Baca versi Rumi di sini.

کيت بربڠݢ دڠن سماڠت ممبارا رعيت مليسيا اونتوق مڠمباليکن کݢميلڠن توليسن جاوي⹁ ايايت توليسن اصل بهاس ملايو.

اداڽ الت دالم تالين سڤرتي لامن سساواڠ اي-جاوي ﴾Ejawi﴿ يڠ مڽدياکن خدمت ڤرتوکرن توليسن رومي کجاوي تله ممبنتو ممڤرمودهکن کرجا کيت.

نامون⹁ مالڠ سکالي اڤابيلا راماي يڠ تيدق مڽدري بهاوا ۏرسي جاوي يڠ دحاصيلکن ملالوءي اڤليکسي ايت مستي دسمق کمبالي ايجأن دان فورمتڽ کران ترداڤت ببراڤ کسالهن يڠ سريڠ برلاکو.

ڤروسيس اين بوکن سنڠ اونتوق دلاکوکن⹁ کران اي ممرلوکن ڤمباچان يڠ تليتي دان جوݢ کصبرن يڠ تيڠݢي⹁ اڤاته لاݢي باݢي ساي يڠ ماسيه دالم ڤروسيس ممڤلاجريڽ توليسن جاوي.

باڽق ڤرکارا يڠ هاروس دأمبيل برت اڤابيلا کيت ماهو منوکر توليسن رومي کڤد جاوي دان ساي سريڠ مروجوق کڤد اخبار اوتوسن ۏرسي جاوي اونتوق مماهيرکن ديري دان لبيه ممهمي ڤروسيس اين.

ايجأن اصطلاح ساسر دالم توليسن جاوي اداله مڠيکوت سبوتن⹁ بربيذا دڠن ايجأن رومي دمان ايجأنڽ اکن ميريڤ اتاو سام دڠن ايجأن دري اصطلاح سومبر دان تيدق سمستيڽ منچرمينکن سبوتنڽ سچارا سڤنوهڽ.

ساي مڠمبيل چونتوه تڠکڤ لاير دباوه:

ساي مڠيرا هانترن ترسبوت هاروس دباچ⹁ ‭“Alhamdulillah, kes baru Covid-19 dah makin kurang menurut page official KKM. Harap takda (tiada) gelombang ke-3‭”‭.

کيت ڤرهاتيکن چونتوه کسالهن ايجأن يڠ سريڠ برلاکو حاصيل ڤڠݢونأن اڤليکسي اين:

  1. ايجأن “Covid-19” بوکنله “چۏيد-١٩“⹁ تتاڤي سباليقڽ “کوۏيد-19“ کران سبوتنڽ اداله “/’kəʊvɪd/” دان بوکنڽ “/’tʃɒvɪd/”⹁ نامون الت٢ سڤرتي اي-جاوي اکن منوکرکن حروف “C“ دڠن حروف “چ“ کران لازيمڽ دالم بهاس ملايو حروف “C” بربوڽي “/tʃ/”⹁ سڤرتي “cemara / چمارا” اتاو”cereka / چريک”. نامون Covid-19 اياله کات نام خاص يڠ مان حروف “C” بوڽيڽ “/k/” دان هاروس دإيجا مڠݢوناکن حروف “ک“ دان بوکنڽ “چ“.
  2. ڤرکاتأن “ققم” بوکنله جاوي اونتوق “KKM” ايايت اکرونيم کڤد کمنترين کصيحتن مليسيا ﴿Kementerian Kesihatan Malaysia﴾. کبڽقان الت ڤنوکر توليسن رومي-جاوي مڠأيدينتيفيکاسي اکرونيم سباݢاي ساتو ڤرکاتأن⹁ کران سيستمڽ تيدق داڤت ممبيذاکن دأنتارا اکرونيم دان ڤرکاتأن.
    چارا يڠ سڤاتوتڽ اداله سام اد منوليس ستياڤ حروف دالم اکرونيم ترسبوت ددالم ايجأن جاوي ايايت “کي کي عيم“⹁ اتاوڤون يڠ لبيه باءيقڽ منوليس نام ڤنوه کمنترين ترسبوت ايايت “کمنترين کصيحتن مليسيا“.
  3. ڤرکاتأن سيڠکتن “takda” دتوکر کڤد “تقد“⹁ ساتو ڤرکاتأن يڠ تيدق وجود دان سوکر اونتوق دکنل ڤستي.

دباوه اداله ساتو لاݢي هانترن دلامن فيسبوک يڠ سڤاتوتڽ بربوڽي ‭“Wah, bangga pulak (pula) rasa bila PM sebut grup Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official ‭😅‭”‭.

ساي منک بهاوا توليسن اين جوݢ دتوليس دڠن بنتوان اڤليکسي منوکر توليسن رومي کڤد جاوي تنڤا دسمق ايجأنڽ:

  1. اصطلاح “Facebook” دإيجا “فاچبووق“ يڠ کالاو کيت باچ بربوڽي لبيه کورڠ “Fachebuwuk” اتاو “/fɑtʃəbuwuk/”. اصطلاح “Facebook” اياله کات نام خاص يڠ برأصل دري ڤرکاتأن ايڠݢريس⹁ مک اياڽ بوليه دتوليس دالم توليسن رومي ددالم تندا ڤتيکن⹁ اتاو جک ماسيه ماهو منوليس دالم توليسن جاوي⹁ ايجا ڤرکاتأن ترسبوت مڠيکوت سبوتنڽ ايايت “فيسبوک“.
  2. ڤرکاتأن “اوففيچيال“ جک دباچ اي اکن بربوڽي لبيه کورڠ “ofefichiyal” اتاو” /ɒfəfɪtʃiːɑːl/”. مک “official” سڤاتوتڽ دإيجا “اوفيشل“ اتاو توليس نام ڤنوه ݢروڤ فيسبوک ترسبوت
    ايايت “Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official” ددالم توليسن رومي.

اينله دأنتارا چونتوه کسالهن ايجأن جاوي يڠ موڠکين تيدق دسدري عقيبة کيت مڽراهکن سڤنوهڽ کرجا مڠيجا جاوي کڤد اڤليکسي کومڤوتر تنڤا مڽمق کمبالي حاصيلڽ.

ايت بلوم ترماسوق اصطلاح٢ يڠ بلوم ددفتر کدالم الت ڤنوکر توليسن ايت⹁ سڤرتي “Sabah” دان ”Kamaruddin” باݢي سستڠه ۏرسي الت ڤنوکر توليسن⹁ يڠ اکن منوکرڽ منجادي “سابه“ دان “کامروددين“⹁ والاوڤون ايجأن سبنرڽ اداله “صباه“ دان “قمر الدين“.

ساي بلوم ماهير مڠيجا ددالم جاوي دان کادڠ کالنيا ساي تيدق تاهو بهاوا ايجأن يڠ ساي توليس ايت اداله ساله. چونتوهڽ کتيک ساي منوليس رنچان تنتڠ ڤيليهن راي کچيل کيمنيس⹁ ساي مڠيجا “Sabah” سباݢاي “سابه“ دان ستله دتݢور اوليه ݢورو ساي⹁ ڤروفيسور داتوق ناصر ديسا باروله ساي تاهو بهاوا ايجأن يڠ بتول اياله “صباه“.

ڤد ڤنداڤت ساي⹁ تيدق ساله اونتوق کيت مڠݢوناکن الت٢ ڤنوکر توليسن رومي کجاوي اونتوق ممودهکن اوروسن کيت تتاڤي کيت هاروس مڽمقڽ کمبالي دان ممبوات ڤمبتولن جک اد کسالهن.

دالم کيت برسماڠت اونتوق مڠݢوناکن توليسن جاوي⹁ بيارله اياڽ دلاکوکن دڠن ڤنوه ترتيب دان تليتي. مک⹁ کيت مستي ممڤلاجري ايجأن جاوي دڠن بتول سوڤاي کيت ممڤو منجاݢ واريثن اين دڠن سمڤورنا اݢر توليسن جاوي تيدق برتوکر منجادي ساتو سيستم توليسن يڠ چاچمربا.

ليهت ڤروسيس ڤنچيڤتأن ۏرسي جاوي باݢي رنچان اين دسيني‮.

Tulisan Jawi dan Identiti Malaysianya Yang Tersendiri

Walaupun berasaskan pada pohon dan akar yang sedia ada, namun ianya mempunyai pucuk daun dan buahnya yang tersendiri dan berbeza daripada pohon-pohon lain; maka inilah sepatutnya menjadi kebanggaan seluruh warga Malaysia.

Baca versi Jawi di sini.

Jawi, kebiasaannya perkataan ini hanya dikaitkan dengan tulisan Jawi, iaitu tulisan asal bahasa Melayu sebelum pengenalan tulisan Rumi kepada budaya kita.

Namun, sebenarnya definisi perkataan Jawi bukanlah hanya sekadar nama sejenis tulisan tetapi menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, Jawi bermaksud Melayu; justeru tulisan Jawi membawa makna tulisan Melayu.

Pada akhir tahun 2019, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah mengumumkan bahawa Baginda akan menggunakan tulisan Jawi di laman Twitter Baginda.

Perkara ini telah membangkitkan semangat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengembalikan penggunaan dan memperkasakan tulisan Jawi; dan hasilnya ramai dalam kalangan warga maya telah mula menggunakan tulisan Jawi di pelbagai platform media sosial.

Namun sejauh manakah kita mengenali keistimewaan khazanah warisan kita ini, khasnya abjad yang digunakan dalam tulisan Jawi?

Walaupun benar bahawa abjad Jawi berasal daripada abjad Arab, tetapi bukan sahaja tidak kesemua abjad Jawi wujud di dalam abjad Arab, malah, tidak semua abjad Jawi ditulis dalam bentuk yang sama seperti cara tulisan abjad Arab.

Seperti yang kita maklum, huruf-huruf Jawi seperti ca (چ), nga (ڠ) dan nya (ڽ) tidak ada di dalam abjad Arab kerana berbeza dengan bahasa Melayu, bunyi-bunyi bagi huruf tersebut tidak wujud di dalam bahasa Arab.

Dalam hal yang lain, mungkin ada yang tidak menyedari bahawa terdapat juga huruf yang walaupun ada di dalam kedua-dua tulisan Arab dan Jawi, tetapi cara huruf-huruf itu ditulis di dalam kedua-dua sistem tulisan ini adalah berbeza, iaitu huruf kaf.

Mereka yang boleh membaca Al-Quran dan teks Arab tentu maklum bahawa cara menulis huruf kaf di dalam bahasa Arab adalah seperti ini, “ك”, dan bentuknya tidak berubah apabila berada di akhir sesebuah perkataan, iaitu “ـك”. Ia hanya mempunyai rupa yang berbeza apabila berada di awal atau pertengahan perkataan iaitu “كـ” atau “ـكـ”.

Dengan persepsi bahawa abjad Jawi adalah sama dengan abjad Arab, ada dalam kalangan kita yang menulis huruf kaf di dalam tulisan Jawi dengan cara yang sama dengan huruf kaf dalam tulisan Arab; walhal cara penulisan huruf kaf di dalam tulisan Jawi adalah berbeza apabila kedudukannya di akhir perkataan atau apabila ianya tidak bersambung dengan abjad lain.

Berbeza dengan bahasa Arab, cara menulis huruf kaf di dalam tulisan Jawi adalah “ک” jika tidak bersambung, dan “ـک” apabila berada di akhir perkataan, sepertimana bentuknya apabila berada di tengah-tengah dan di permulaan perkataan.

Begitu juga dengan huruf ga, yang ramai ingatkan bahawa ia ditulis seperti ini “ڬ”, namun sebenarnya ditulis begini “ݢ”.

Ini ialah kerana cara menulis huruf kaf dalam tulisan Jawi telah dipengaruhi oleh sistem penulisan bahasa Farsi, namun ianya bukanlah bermakna bahawa kesemua abjad Jawi adalah sama dengan abjad Farsi; contohnya abjad ga atau disebut gaf dalam bahasa Farsi.

Berbeza dengan tulisan Jawi, abjad tersebut ditulis seperti ini, “گ” di dalam sistem tulisan Farsi.

Malah lebih menarik, cara menulis huruf ga di dalam tulisan Jawi adalah unik kepada tulisan Jawi sahaja dan berbeza daripada cara huruf atau bunyi tersebut ditulis di dalam sistem tulisan lain.

Seperti yang kita ketahui, huruf pa (ڤ) di dalam tulisan Jawi yang membawa bunyi yang sama seperti bunyi huruf “P” di dalam tulisan Rumi tidak wujud di dalam sistem tulisan Arab dan Farsi.

Di dalam bahasa Farsi, huruf yang digunakan bagi bunyi tersebut ialah pe (پ), iaitu adaptasi daripada huruf Arab ba (ب).

Menariknya, walaupun huruf pa (ڤ) wujud di dalam tulisan lain termasuk Arab Mesir dan Kurdi, namun dalam bahasa-bahasa tersebut, huruf itu dipanggil ve dan membawa bunyi seperti huruf “V” dan bukannya digunakan untuk bunyi huruf “P” seperti di dalam tulisan Jawi.

Ini bermakna bahawa walaupun huruf-huruf seperti pa (ڤ) dan nga (ڠ) juga terdapat di dalam bahasa lain, namun sebutannya dan kegunaannya adalah berbeza berbanding dalam tulisan Jawi.

Manakala, huruf-huruf seperti ga (ݢ), nya (ڽ) dan va (ۏ) pula hanya wujud di dalam tulisan Jawi sahaja, dan tidak boleh didapati di dalam mana-mana tulisan lain di dunia ini.

Ini membuktikan keistimewaan tulisan Jawi, yang walaupun berasal daripada tulisan Arab, namun mempunyai identitinya yang tersendiri yang bertunjangkan lenggok bahasa dan budaya kita, bersesuaian dengan semangat negaranya iaitu Malaysia.

Ibaratnya, walaupun berasaskan pada pohon dan akar yang sedia ada, namun ianya mempunyai pucuk daun dan buahnya yang tersendiri dan berbeza daripada pohon-pohon lain; maka inilah sepatutnya menjadi kebanggaan seluruh warga Malaysia.

Sebaliknya, dalam hal tulisan Rumi pula, abjadnya diambil secara total daripada sistem tulisan lain dan tidak terikat dengan budaya kita, tanpa sebarang penambahan atau pengadaptasian langsung.

Justuru, hargailah warisan budaya kita, belajarlah mengenali yang mana intan dan yang mana kaca.

Hayatilah pesanan orang tua-tua, yang lama dikelek, yang baharu didukung agar kita tidak hilang khazanah negara ibarat yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Kekecohan Membangkit Minat Saya Memartabatkan Tulisan Jawi

Pada mulanya saya tidak menyangka kekecohan berkaitan isu tulisan Jawi dan khat akan menjadi begitu panas dan berlarutan sampai begini.

Memberi peluang pelajar sekolah rendah mengenali dan mempelajari tulisan Jawi adalah satu usaha yang sangat baik untuk memastikan generasi muda tidak akan buta tulisan Jawi, iaitu tulisan asal Bahasa Melayu.

Perkara ini penting bukan hanya kerana tulisan Jawi merupakan khazanah berharga negara tetapi ianya penting dari segi akademik, lebih-lebih lagi dalam usaha mengkaji dan memahami sejarah negara kerana banyak dokumen lama ditulis dalam tulisan Jawi.

Namun malang sekali kerana sebaik sahaja perkara ini diumumkan, telah timbul berbagai bantahan daripada mereka yang mungkin kurang memahami betapa pentingnya tulisan Jawi kepada sejarah dan ketamadunan negara bangsa.

Antara yang lantang bersuara termasuklah badan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong yang juga telah memulakan petisyen membantah perkara ini.

Dong Zong mendakwa langkah kerajaan untuk mengajar tulisan Jawi di sekolah ialah satu usaha ke arah “Islamisasi” dan ianya bercanggah dengan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan kerana memaksa seseorang untuk menyertai amalan agama lain; alasan dangkal ini dijawab oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di mana beliau melabelkan Dong Zong sebagai “rasis”.

Kekecohan ini telah menyedarkan saya tentang kekhilafan diri saya sendiri yang selama ini tidak berusaha menggunakan tulisan Jawi dalam kehidupan harian saya.

Saya boleh membaca teks Jawi tetapi masih tidak begitu mahir dalam mengeja dalam ejaan Jawi dan kini saya merasa bertanggungjawab untuk belajar dan berusaha menggunakan tulisan Jawi.

Sekarang, semasa kelas hadis mingguan yang saya hadiri, saya menulis nota menggunakan tulisan Jawi walaupun menghadapi masalah untuk mengeja dengan betul.

Maka, setelah pulang ke rumah saya akan menyemak semula tulisan saya dan memperbaiki ejaan yang salah.

Tulisan Jawi saya tidaklah cantik, dan saya masih bergantung kepada kamus Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta aplikasi atas talian yang mengubahkan tulisan Rumi kepada tulisan Jawi untuk merujuk ejaan Jawi yang betul.

Alhamdulillah, sudah semakin banyak ejaan Jawi yang telah saya tahu dan saya semakin dapat memahami konsep ejaan Jawi dengan lebih baik.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya bukan sahaja harus memartabadkan tulisan Jawi tetapi kini saya berasa malu kepada diri saya sendiri kerana saya tidak mahir menulis tulisan Jawi.

Saya tidak mahu menjadi rakyat yang hanya mengejar kejayaan material dan lupa akan asal usul budaya bangsa saya sendiri kerana kejayaan material semata-mata tidak akan dapat membina dan mempertahankan ketamadunan negara bangsa.

Kit Siang Akan Pinda Perlembagaan DAP?

Sebagai menjawab kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Razak bahawa hak-hak orang Melayu akan hilang jika pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata hak orang Melayu tetap terpelihara, malah akan dipertingkatkan jika ‘Pakatan Harapan-Bersatu’ memenangi Pilihan Raya Umum (PRU), seperti yang telah dilaporkan oleh RoketKini.

Kenyataan Lim Kit Siang itu amat lucu, mengarut dan retorik kerana mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu adalah bertentangan dengan Perlembagaan DAP; khasnya pada Fasal II Matlamat 2, 10, 11; bermakna Perlembagaan DAP mesti dipinda terlebih dahulu jika benar DAP mahu mempertahankan hak Melayu! 

Malah, ramai peminpin bukan Melayu DAP dan Pakatan DAP yang gagal berbahasa Melayu dengan baik, pada hal Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan.

Bagaimanakah DAP mahu memelihara hak istimewa orang Melayu jika bangsa Melayu tidak disebut lagi, termasuk di dalam borang rasmi dan semua bangsa mahu dirangkumkan sebagai satu bangsa sahaja?

Menyamaratakan bangsa? No Malays? Tiada lagi Melayu?

Tweet Hannah Yeoh, pemimpin kanan DAP dan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang mahu menggunakan “Anak Malaysia” sebagai nama kaum di Sijil Kelahiran anaknya.

Bekas aktivis DAP, Tuan Razali Abdul Rahman telah menceritakan bagaimana orang-orang Melayu ditindas oleh kerajaan DAP di Pulau Pinang; itu setakat memerintah negeri, apa lagi kalau DAP memerintah negara!

Lihat sahaja apa yang telah DAP lakukan di Perak semasa pemerintahan singkat mereka, bangsa manakah yang mendapat paling banyak keuntungan?

Bukan setakat parti DAP, malah parti PKR pun tidak berminat untuk mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu dan mereka juga tidak sensitif akan perasaan orang Melayu.

Picture1
Contoh: Kenyataan Tian Chua semasa pertempuran di Lahad Datu di mana  9 perwira Melayu terkorban  demi mempertahankan kedaulatan negara.

Tindakan Teresa Kok membuang tulisan Jawi pada sebuah papan tanda jalan di Kuala Lumpur jelas menindas hak orang Melayu dalam memperkasakan tulisan Jawi, tulisan asal Bahasa Kebangsaan yang mesti dipelajari oleh semua kaun di Malaysia.

Lebih teruk lagi, tindakan pemimpin DAP itu memberi gambaran bahawa pada mereka, kedudukan tulisan Jawi lebih rendah berbanding kedudukan tulisan Cina dan Tamil!

p10203551a
Apakah ini contoh DAP memelihara hak orang Melayu?

imgp4219a1

Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan orang Melayu sebagai orang yang beragama Islam, maka dalam memelihara hak orang Melayu, agama Islam mesti dipelihara, di pertahankan dan diperjuangkan selaras dengan Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Apakah tindakan dan reaksi Pakatan DAP di dalam kes rampasan Bible, kes kalimah Allah, ahli politik bukan Islam berceramah di dalam surau dan masjid, cadangan pindaan Akta 355 dan sebagainya itu memelihara hak beragama orang Melayu?

Lim Kit Siang dan pemimpin bukan Islam lain DAP serta Pakatan DAP bukan setakat berkali-kali menghina Islam, malah dengan sesuka hati mencampuri urusan agama Islam walaupun ianya bertentangan dengan Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan; inikah caranya untuk membela hak orang Melayu?

azan1
Sila cilck: Lim Kit Siang pernah dengan biaDAPnya mempertikai Surah Al-Baqarah.

Tony Pua DAP dengan biadap telah menghina Khutbah Jumaat pada 14 Februari 2014. (Sila baca di sini)

Image from Tonu Pua's Facebook.

Teo Nie Ching (DAP) ialah diantara pemimpin bukan Islam Pakatan DAP yang jelas tidak menghormati agama Islam dengan berucap kepada para jemaah di ruang solat utama surau dan masjid, contoh yang lain ialah Xavier Jayakumar A/L Arulanandam, Sivarasa Rasiah dan sebagainya.

Ngeh Koo Ham pula sering mencampuri urusan orang Melayu dan agama Islam, contohnya mengatakan menurut Perlembagaan Persekutuan orang Melayu boleh murtad dan bebas memilih agamasoal sijil halal Old Town White Coffee, soal kalimah Allah dan banyak lagi.

(Sila click di sini untuk imej yang lebih besar)

bendera-lgbt
Pakatan DAP dengan jelasnya menyokong agenda LGBT, contohnya semasa perhimpunan Bersih 4. (Sila baca di sini)

Malah, Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil yang walaupun mengaku beragama Islam telah berusaha menentang taraf, kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah menurut Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan; khasnya yang menghalang Mahkamah Tinggi daripada membatalkan keputusan Mahkamah Syariah.

Begitu juga Dr. Ariffin Omar, seorang lagi pemimpin DAP yang walaupun mengaku beragama Islam, telah memberitahu Parlimen, “Apa salahnya kalau Penang hendak dijadikan Christian city?”

Malah pemimpin Islam PAN, PKR dan DAP bukan setakat berdiam diri, malah ada yang membela apabila pemimpin bukan Islam DAP dan PKR menghina Islam.

PAN yang mengaku kononnya ‘Islamik’, tidak boleh diharap langsung untuk membela Islam; malahan, mereka ‘ada’ Islam versi mereka sendiri, yang mirip kepada ideologi yang diperjuangkan oleh Penang Institute, puak-puak liberal (seperti SIS Forum Bhd, G25, Siti Zabedah Kasim dan ramai lagi) dan mereka yang menentang dasar negara yang memgamalkan Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pemimpin Pakatan DAP termasuk peminpin PAN juga mahu duit zakat di bahagikan kepada orang-orang bukan Islam, sedangkan masih ramai lagi asnaf yang perlu dibantu.

Maka, janji Lim Kit Siang bahawa hak orang Melayu tetap terpelihara, malah akan dipertingkatkan jika ‘Pakatan Harapan-Bersatu’ memenangi Pilihan Raya Umum hanyalah menanam tebu di bibir mulut.

(Sila baca Perjanjian DAP, PKR, PAN, PPBM Untuk Meminda Perkara 3(1)? )

Semua itu hanyalah janji retorik untuk menutup pekung mereka demi untuk meraih undi orang Melayu untuk PRU 14 nanti.

Pindalah Perlembagaan DAP terlebih dahulu sebelum bercakap soal mempertahankan hak Melayu! 


Related posts:

  1. Ngeh Koo Ham, Majlis Syura Ulama PAS And ‘Kalimah Allah’
  2. Zairil Dakwa Tun M Mencadangkan Pindaan Semberono?
  3. Menjawab Dr. Ariffin Omar: Apa salahnya kalau Penang hendak dijadikan Christian city?
  4. Jawapan Kepada Kenyataan Mengelirukan Khalid Samad Tentang Pindaan Akta 355
  5. Apa Nak Jadi Pada Tun M
  6. Act 355: Another Baseless and Illogical Arguement from G25
  7. Kerana Mudah Lupa, Tun M Kini Jadi Alat Puak Liberal Pengaruhi Melayu (Video)
  8. Akta 355: Poster Dangkal SIS Forum Tentang Akta 355
  9. Institusi Agama Fitnah G25 & Shad Faruqi? Biar Betul!
  10. Old Town White Coffee Halal Certification And YB Ngeh Koo Ham
  11. Is The Lahad Datu Incident A Conspiracy?
  12. Is Muhyiddin Still “A Malay First”
  13. Constitutionally Illiterate!
  14. Surat Balas Tun M Tidak Menjawab Persoalan
  15. Perjanjian DAP, PKR, PAN, PPBM Untuk Meminda Perkara 3(1)?
  16. Tun Dr Mahathir, From A Statesman To A Street Demonstrator
  17. Tony Pua Hina Khutbah Jumaat
  18. What A Joke, Khalid Samad