Siapakah MP Pembangkang Dikhabarkan Akan Sokong Belanjawan?

Menjelang undian Belanjawan 2021 petang ini, ramai masih tertanya-tanya apakah yang bakal diputuskan oleh Dewan Rakyat. Khabar angin bahawa beberapa Ahli Parlimen UMNO tidak akan menyokong belanjawan tersebut disambut pula dengan kata-kata bahawa mungkin ada beberapa Ahli Parlimen pembangkang akan menyokong belanjawan.

Sila baca: Azmi: Jika Belanjawan Ditolak, Bukan Bermakna Anwar Jadi PM

Menurut Ahli Parlimen Subang, YB Wong Chen, beliau pernah mendengar khabar angin bahawa beberapa Ahli Parlimen pembangkang akan menyokong belanjawan tersebut, dengan janji memdapat sumber dan peruntukan sebagai balasan.

“Khabar angin mengatakan bahawa beberapa ahli parlimen UMNO tidak akan mengundi dan pada masa sama saya juga pernah mendengar khabar angin beberapa ahli parlimen pembangkang akan menyokong belanjawan sebagai balasan untuk sumber dan peruntukan kepada ahli parlimen.

“Apa pun yang berlaku, undian belanjawan ini penting untuk membantu menjelaskan kekaburan politik yang bermula setelah kerajaan pintu belakang berkuasa pada Februari 2020.

“Keputusan hari ini, akan menunjukkan dengan jelas siapa sokong siapa.”

Wong Chen -26 November 2020

Sila baca: Belanjawan 2021: Realiti Nombor & Sokongan

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut tidak menafikan kemungkinan sokongan tersebut. Tambah beliau, kerajaan mempunyai kaedah untuk mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, dengan mengambil kira ahli parlimen yang menyatakan tidak akan hadir pengundian, selain ahli parlimen yang meninggal dunia, jumlah 112 yang diperlukan PN untuk mempertahankan kerajaan telah berkurangan.

“Ertinya jumlah 112 yang diperlukan untuk pembentukan sebuah kerajaan itu telah berkurangan.

“Dalam situasi yang begitu tentunya kerajaan yang memerintah mempunyai beberapa kaedah tertentu untuk mendapat dokongan daripada ahli-ahli parlimen yang berada di luar kerajaan.

“Tentu ada beberapa perkara yang sedang dirancangkan oleh mereka.”

Ahmad Zahid Hamidi – 25 November 2020

Sila baca: Ku Li: Antara Sumpah Jawatan MP & Perbahasan Belanjawan

Sehingga keputusan dibuat dalam pengundian yang dijangka akan berlaku bila-bila selepas jam 2 petang nanti, orang awam akan terus tertanya-tanya sambil menunggu berita. Adakah suara rakyat akan dibawa oleh wakil-wakil rakyat di Parlimen?