Istana Negara: Dakwaan Anwar Tidak Kukuh, Senarai Nama Tidak Dikemukakan

Istana Negara hari ini mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai perkembangan terkini berkenaan situasi politik terkini, terutamanya berkenaan Anwar Ibrahim yang mengadap Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan beliau bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Baca kenyataan penuh di bawah.

Akan Berakhirkah Penantian Anwar Ibrahim?

Apakah esok akan melakarkan satu lagi titik baharu dalam sejarah politik negara?

Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau akan mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong esok, dikatakan untuk mempersembahkan perihal dakwaan beliau telah mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Pengumunan ini disambut gembira oleh penyokong beliau yang lebih 2 dekat menunggu Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.

Namun ramai juga yang mempertikaikan dakwaan beliau, malah telah banyak penafian yang dibuat oleh Ahli-ahli Parlimen yang dikatakan telah berpaling tadah dan menyokong kepimpinan Anwar.

Jadi, apakah benar Anwar telah mendapat sokongan majoriti atau ini hanyalah satu lagi episod politik angka untuk memancing sokongan mereka yang sanggup melompat parti?

Saya melihat terdapat tiga kemungkinan utama:

  1. Anwar Ibrahim dapat membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat dan dapat menubuhkan kerajaan baharu.
  2. Anwar dapat membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan Ahli Dewan Rakyat tetapi Tan Sri Muhyiddin mencadangkan parlimen dibubarkan
  3. Anwar tidak dapat membuktikan apa-apa, maka tiada apa-apa yang berlaku.

Namun harus diingat, walaupun Anwar dapat membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat dan dapat menubuhkan kerajaan baharu, ini tidak bermakna bahawa beliau yang mesti dilantik menjadi Perdana Menteri.

Rakyat harus sedar bahawa Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri menurut budi bicara baginda.  

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan

Walau apapun, yang pasti esok akan menjadi hari yang sibuk kepada para wartawan.

Istana Bidas Berita Palsu Guna Nama Agong Bagi Kepentingan Politik, Peribadi

Istana Negara memandang serius perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan institusi itu untuk menyebar berita palsu bagi kepentingan politik atau peribadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Istana Negara sentiasa memantau kenyataan tidak benar oleh beberapa individu kepada media yang menggunakan nama dan menyebarkan foto Sultan Abdullah dan Istana Negara melalui applikasi WhatsApp.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab sedemikian bukan sahaja mencemarkan kredibiliti Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut.

“Istana Negara, jika mendapati perlu, tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tindakan lanjut bawah Seksyen 211dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan.

Istana Negara juga menyarankan rakyat agar tidak mudah panik dan percaya dengan berita palsu yang tersebar.

Istana Negara turut menyarankan agar berita-berita palsu ini tidak dikongsi bersama untuk mengelakkan tindakan oleh polis dan SKMM.

Negara Tidak Mempunyai Tanah, Harta Jika Tiada Raja-raja Melayu

Baca versi Jawi di sini.

Bayangkan huru-hara yang boleh berlaku ketika kerajaan PH jatuh akibat krisis politik pada Februari 2020 jika negara kita tidak mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Sedarkah kita bahawa ketika penubuhannya, persekutuan tidak mempunyai apa-apa, tanpa tanah yang dimiliki oleh kerajaan-kerajaan Melayu berdaulat yang diperintah oleh Raja-raja Melayu?

Sila baca: Tengku Hassanal: Kekalkan Kuasa Pemerintahan Bersama Agong

Malangnya, masih ramai rakyat yang gagal menghormati institusi diraja di negara kita. Lebih parah apabila rakyat bersikap semakin biadap terhadap Raja-raja Melayu khasnya di media sosial.

Malah pelbagai fitnah jahat telah dibuat ke atas baginda Raja-raja Melayu, termasuk fitnah besar terhadap Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail yang masih dipercayai oleh sebilangan rakyat sehingga ke hari ini. Lebih malang lagi apabila perkara ini juga dilakukan dan dipanjangkan oleh rakyat Raja sendiri.

Sila baca: Fitnah Yang di-Pertuan Agong: Guardian Harus Mohon Ampun

Jelas, mereka ini bukan sahaja buta sejarah negara bangsa tetapi juga gagal menghayati Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara. Perlembagaan Persekutuan mengangkat Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara; di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa eksekutif seperti yang telah diperincikan oleh Perlembagaan.

Ada pihak yang hanya berbangga tentang demokrasi; namun tahukah mereka bahawa Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan (constitutional monarchy) dan bukannya Raja dalam demokrasi berparlimen (democratic parliamentary monarchy) seperti yang diamalkan di England? Malah perkataan ‘demokrasi’ tidak pernah sekali pun disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sila baca: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Negara telah meletakkan Yang di-Pertuan Agong pada kedudukan terpenting dalam sistem pemerintahan negara kerana punca kuasa pemerintahan Persekutuan berpusat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sejarah telah membuktikan bahawa walaupun tanpa sistem demokrasi, sejak dahulu lagi, kerajaan-kerajaan Melayu berdaulat telah berjaya ditadbir dengan baik, adil dan teratur sehingga disegani oleh kerajaan-kerajaan lain pada zamannya, contohnya Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Johor-Riau.

Sila baca: Raja Melayu Payung Negara

Negara ini bukannya terbentuk dengan sendirinya di atas tanah yang tidak bertuan seperti yang berlaku di dalam sesetengah permainan video; tetapi persekutuan ini ditubuhkan hasil permuafakatan dan pengorbanan Raja-raja Melayu yang sanggup mengorbankan kuasa mutlak baginda ke atas kerajaan masing-masing untuk bergabung membentuk sebuah negara persekutuan yang lebih kuat.

Jangan menjadi bagai kacang lupakan kulit atau seperti Belanda meminta tanah. Kita semua mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing yang mesti dihormati oleh setiap orang di negara ini agar dapat kita boleh hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Sila baca: Hayati Pengorbanan Raja-Raja Melayu Dalam Menyambut Hari Kebangsaan

Jika rakyat bercakap soal hak mereka, institusi diraja juga diperuntukkan hak oleh Perlembagaan, begitu juga hak negara ke atas rakyatnya.

Perkara ini telah dipersetujui oleh semua pihak yang terbabit ketika pembentukan negara kita dahulu; maka, apabila ada pihak yang mempertikaikan dan menuntut hak orang lain tentulah ianya menimbulkan perasaan marah daripada pihak yang dituntut.

Sila baca: Masih Relevankah Sistem Beraja?

Belajarlah tentang sejarah negara dan kenalilah asal usul negara bangsa. Jangan sampai kekhilafan menghancurkan tamadun bangsa.


Adakah Penjarakan Sosial Terkawal di Parlimen? (Gambar)

Ramai di antara kita yang gagal mengawal diri untuk mengamalkan penjarakan sosial apabila berkumpul secara beramai-ramai seperti perjumpaan keluarga, meraikan perayaan, dan sebagainya.

Nampaknya persidangan Parlimen juga tidak terkecuali, walaupun sidang Parlimen hari ini hanya berlangsung selama beberapa jam sahaja dan bukannya sehari atau lebih.

Ada beberapa Ahli Parlimen dilihat berkumpul secara beramai-ramai tanpa penjarakan 1 meter walaupun Parlimen telahpun menjarakkan kerusi Ahli-ahli Parlimen.

Ada juga yang “bersalaman” menggunakan siku, walhal sepatutnya hubungan fizikal tidak patut wujud langsung menurut SOP.

Ahli Parlimen sepatutnya mencontohi Yang di-Pertuan Agong yang menggunakan isyarat meletak tangan di dada sebagaimana termaktub di dalam SOP Kementerian Kesihatan Malaysia.

Nampaknya sukar bagi sesetengah dari kita untuk mengamalkan kebiasaan baharu; patutlah Dr. Noor Hisham hari ini dilaporkan berkata bahawa rakyat Malaysia perlu bersedia mengamalkan norma baharu termasuk dengan berkurung di rumah pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


راماي دانتارا کيت يڠ ݢاݢل مڠاول ديري اونتوق مڠمالکن ڤنجاراکن سوسيال اڤابيلا برکومڤول سچارا براماءي٢ سڤرتي ڤرجومڤأن کلوارݢ، مرءيقان ڤرايأن، دان سباݢايڽ.

نمڤقڽ ڤرسيداڠن ڤرليمين جوݢ تيدق ترکچوالي، والاوڤون سيدڠ ڤرليمين هاري اين هاڽ برلڠسوڠ سلاما ببراڤ جم سهاج دان بوکنڽ سهاري اتاو لبيه.

اد ببراڤ اهلي ڤرليمين دليهت برکومڤول سچارا براماءي٢ تنڤا ڤنجاراکن 1 ميتر والاوڤون ڤرليمين تلهڤون منجارقکن کروسي اهلي٢ ڤرليمين.

اد جوݢ يڠ برسلامن مڠݢوناکن سيکو، ولحال سڤاتوتڽ هوبوڠن فيزيکل تيدق ڤاتوت وجود لڠسوڠ منوروت ايس او ڤي.

اهلي ڤرليمين سڤاتوتڽ منچونتوهي يڠ دڤرتوان اݢوڠ يڠ مڠݢوناکن عشارت ملتق تاڠن ددادا سباݢايمان ترمکتوب ددالم ايس او ڤي کمنترين کصيحتن مليسيا.

نمڤقڽ سوکر باݢي سستڠه دري کيت اونتوق مڠمالکن کبياساان بهارو; ڤاتوتله دوکتور نور هشام هاري اين دلاڤورکن برکات بهاوا رعيت مليسيا ڤرلو برسديا مڠمالکن نورما بهارو ترماسوق دڠن برکوروڠ درومه ڤد هاري راي عيدالفطري تاهون اين.

Agong Dedahkan Baginda Pernah Minta Tun Mahathir Tidak Letak Jawatan (Video)

Titah Agong Menjelaskan Kenapa Persidangan Parlimen Hanya Ada Satu Urusan (Video)

Ada dalam kalangan pemimpin politik yang membantah dan mempertikaikan keputusan untuk mengadakan hanya satu urusan sahaja semasa persidangan Parlimen hari ini.

Semoga titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dapat menjawab segala-galanya; dan kita sebagai rakyat Malaysia yang taat setia kepada Raja-Raja Melayu faham asbab di sebalik keputusan ini dan tidak akan mempersoalkan titah Tuanku.



اد دالم کالڠن ڤميمڤين ڤوليتيق يڠ ممبنته دان ممڤرتيکايکن کڤوتوسن اونتوق مڠاداکن هڽا ساتو اوروسن سهاج سماسا ڤرسيداڠن ڤرليمن هاري اين.

سموݢ تيته دولي يڠ ماها موليا سري ڤادوک باݢيندا يڠ دڤرتوان اݢوڠ داڤت منجاواب سݢالا-ݢالاڽ⁏ دان کيت سبݢاي رعيت مليسيا يڠ طاعة کڤد راج٢ ملايو فهم اسباب دسباليق کڤوتوسن اين دان تيسق اکن ممڤرسؤالکن تيته توانکو.

Agong, Permaisuri Berkenan Emolumen Diraja Tidak Dibayar 6 Bulan

Baca versi Jawi di sini.

[BERNAMA}- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkenan oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik koronavirus (Covid-19) serta menyahut keputusan kerajaan memotong dua bulan gaji perdana menteri, menteri serta timbalan menteri dan disalurkan ke Tabung Covid-19.

“Perkenan Seri Paduka baginda berdua ini turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka baginda berdua terhadap perkembangan terkini pandemik ini dan situasi kewangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PM Umum Jemaah Menteri 5 Petang Hari Ini

Sila baca: TERKINI – Senarai Jemaah Menteri Baharu Diumumkan

[BERNAMA}- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini pada 11 pagi untuk mempersembahkan senarai barisan Jemaah Menteri baharu kerajaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan setelah mendapat perkenan Seri Paduka, Perdana Menteri dijangka mengumumkan senarai Jemaah Menteri hari ini pada 5 petang di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, pada 1 Mac.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Fitnah Yang di-Pertuan Agong: Guardian Harus Mohon Ampun

“The Guardian view on a royal coup: a king overturns a historic election” (Pandangan Guardian mengenai rampasan kuasa diraja: seorang raja membatalkan (keputusan) pilihanraya bersejarah) – itulah tajuk laporan editorial akhbar British, The Guardian yang jelas memfitnah dan menghina DYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Ibarat pepatah, orang lain makan nangka, orang lain kena getahnya.

Menuduh berlakunya rampasan kuasa diraja di Malaysia dan memfitnah Raja kita membatalkan keputusan pilihanraya bersejarah adalah perbuatan keji yang melampau.

Sungguh memalukan apabila pihak editorial sebuah akhbar antarabangsa gagal membuat kerja rumah atau “homework” sebelum menulis sebuah laporan; lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan maruah seorang Raja dan negara yang berdaulat.

Jelas bahawa tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan yang mencetuskan krisis politik sehingga seminggu adalah berpunca daripada perebutan kuasa beberapa pemimpin-pemimpin politik, khasnya jawatan Perdana Menteri.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menjalankan tanggungjawab eksekutif banginda dengan tertib dan bijaksana untuk menamatkan konflik ini demi kesejahteraan negara.

Sila baca: Krisis Politik 2020: Ke Manakah Kita?

Tidak seperti Perlembagaan United Kingdom yang tidak bertulis, Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah Perlembagaan bertulis; maka sudah tentu perkara ini memudahkan pihak editorial The Guardian untuk membuat rujukan, jika mereka jujur dan bersikap professional.

Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Utama Negara, yang membawa maksud bahawa baginda mempunyai kuasa eksekutif tertinggi seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 39 Perlembagaan.

Sila baca: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Persoalannya:

  • Apakah pihak editorial The Guardian sengaja membuat fitnah liar ini dengan niat jahat?
  • Atau apakah mereka hanya bekerja sambil lewa tanpa membuat kajian sebelum menulis sesuatu yang mereka sendiri tidak fahami?

Untuk rekod, beberapa hari yang lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi amaran supaya tidak ada mana-mana pihak cuba membawa masuk ‘unsur luar’ untuk mencampuri situasi politik negara ketika ini.

Abdul Hamid mengesahkan terdapat usaha untuk membawa elemen dari luar bagi membantu ‘pihak tertentu’ menghadapi kemelut politik negara pada masa ini. 
“Itu namanya pengkhianatan terhadap negara…jangan libatkan orang luar…kita dalam perbalahan adik-beradik antara parti.

BERNAMA (Jangan bawa unsur luar dalam situasi politik negara – KPN)

Pihak The Guardian mesti memohon ampun kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta, meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan mereka yang biadap.