Zakat Fitrah Selangor Boleh Bayar Dalam Talian

Baca versi Jawi di sini.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor tahun ini kekal RM7 seperti tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata, ia selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengekalkan kadar zakat fitrah pada tahun ini.

“Penetapan kadar zakat fitrah RM7 berdasarkan harga bagi 2.6kg beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan masyarakat di Selangor,” katanya pada sidang media.

LZS menggalakkan golongan yang berkemampuan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.

Saipolyazan berkata secara tidak langsung umat Islam berpeluang melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan Ramadan.

“Kadar zakat fitrah sebanyak RM14.00 seorang bagi individu yang makan beras putih import, beras perang, beras pulut, herba ponni, atau beras wangi, atau RM21.00 seorang bagi individu yang makan beras basmathi, beras Jepun, atau beras merah,” katanya.

Dalam pada itu, LZS sedar ramai orang Islam hilang punca pendapatan dan mungkin termasuk dalam golongan tidak berkemampuan semasa perintah kawalan pergerakan dan kesan wabak Covid-19 ke atas ekonomi.

Oleh itu, individu yang terbatas kemampuan ekonomi ketika ini boleh menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kemampuan diri dan keluarga.

“Sekiranya lebihan yang ada itu hanya mencukupi untuk menunaikan zakat, hendaklah dikeluarkan zakat fitrah sekadar sebahagian sahaja daripada ahli keluarganya,” kata Saipolyazan.

Sementara itu, LZS menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat, bagi memudahkan umat Islam terutama semasa PKP.

“Orang ramai boleh membayar zakat secara atas talian (online) melalui:

  • EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my
  • Perbankan internet di 9 bank iaitu Public Bank, Hong Leong Bank,
    Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank
  • Portal MyEg
  • Pos Online
  • Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost.

LZS turut menempatkan QR Code di lokasi terpilih untuk memudahkan masyarakat mengakses terus platform pembayaran atas talian EzakatPay.

Umat Islam juga boleh membuat pembayaran fidyah secara dalam talian di EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my. -{Free Malaysia Today]