Ateisme Mencabar Kedaulatan Negara

Sejak beberapa hari yang lalu, beberapa portal berita pro-pembangkang giat menyiarkan laporan yang bersifat tidak benar dan prujudis tentang isu golongan ateis yang asalnya beragama Islam di Malaysia ekoran pendedahan tentang kumpulan Atheist Republic.

Free Malaysia Today (FMT) melaporkan seorang ahli akademik Amerika Syarikat yang berpangkalan di Washington, Prof. Zachary Abuza mengkritik reaksi kerajaan Malaysia terhadap kumpulan ini.

Menurut FMT, Abuza berkata Malaysia bukan lagi sebuah negara yang mengamalkan kesederhanaan seperti sebelum ini.

Ini adalah satu fitnah jahat kerana fahaman ateisme adalah bercanggah dengan undang-undang tertinggi Negara; lebih-lebih lagi untuk bekas umat Islam.

Jelaslah, terdapat usaha terancang untuk menghalalkan ateisme dan murtad.

Menggunakan hujah liberal dari kumpulan yang sememangnya tidak faham atau ‘yang sengaja buat-buat tidak faham’, porta-porta berita pro-pembangkang dilihat cuba menimbulkan persepsi perundangan yang salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan untuk menjustifikasikan desakan mereka supaya orang Islam bebas berfahaman ateis.

FMT juga melaporkan kata-kata Prof. Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut mengenai murtad dan “ia tidak mengharamkan murtad dan tidak membenarkannya”, yang memberi persepsi seolah-olah murtad tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan maka tidak boleh ada peruntukan undang-undang yang sah untuk mengawal gejala songsang ini.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan:

“Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Ini membuktikan bahawa asas kenegaraan kita ialah Islam sebagai agama bagi negara ini tetapi agama-agama lain boleh diamalkan selagi amalan mereka tidak menjejas kesucian Islam dan tidak menimbulkan apa-apa ancaman atau apa-apa kemungkinan ancaman dan kemungkinan yang boleh menjadi ancaman terhadap agama Islam. 

Perkara ini telah ditegaskan oleh Tan Sri Apandi Ali  yang ketika itu Hakim Mahkamah Persekutuan, di dalam kes Mahkamah Rayuan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v Kementerian Dalam Negeri & Kerajaan Malaysia:

[33] In short, Article 3(1) was a by-product of the social contract entered into by our founding fathers who collectively produced the Federal Constitution, which is recognized as the Supreme Law of the country. It is my judgment that the purpose and intention of the insertion of the words: “in peace and harmony” in Article 3(1) is to protect the sanctity of Islam as the religion of the country and also to insulate against any threat faced or any possible and probable threat to the religion of Islam.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menegaskan:

Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Ini bermakna Perlembagaan Persekutuan membenarkan undang-undang Negeri dan Persekutuan digubal untuk menyekat penyebaran perkara yang boleh memurtadkan umat Islam termasuk penyebaran fahaman ateis.

Di dalam penghakiman kes Mahkamah Persekutuan ZI Publications Sdn Bhd dan lain-lain v Kerajaan Negeri Selangor, Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu, Tan Sri Md Raus Sharif menegaskan:

Federal Constitution allows the Legislature of a State to legislate and enact offences against the precepts of Islam. 

Malah “Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan” di dalam Perkara 10(1) adalah tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4), dimana:

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaatdemi kepentingan keselamatan Persekutuan atau manamana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negaralain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan

(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

Hujah ni diperkuatkan lagi oleh Perkara 37 yang mewajibkan Yang Di-Pertuan Agong untuk bersumpah di atas nama Allah S.W.T. untuk memelihara pada setiap masa agama Islam, seperti apa yang tertulis di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, sebelum memulakan tugas Baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

Maka, negara mempunyai ‘constitutional duty’ untuk memelihara dan menjaga kesucian agama Islam daripada apa-apa ancaman, kemungkinan ancaman dan apa-apa yang akan memungkinkan berlakunya ancaman terhadap agama Islam, termasuk ancaman pemurtadan termasuk fahaman ateisme.

Malah, menurut Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM yang merupakan seorang pakar Perlembagaan, Dato’ Prof. Mahamad Naser Disa, golongan ateis tidak mempunyai hak Perlembagaan (constitutional rights) di negara ini kerana Perlembagaan negara hanya mengiktiraf hak rakyat yang beragama seperti tertulis di dalam Perkara 3 dan 11 dan Prinsip pertama Rukun Negara iaitu “Percaya Kepada Tuhan”.

Huraian prinsip pertama Rukun Negara kepada kedaulatan negara amat terang dan jelas:

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Sesungguhnya dengan nama Tuhanlah, Bangsa dan Negara ini diwujudkan sebagai sebuah Bangsa dan Negara yang berdaulat. – Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Negara (Jabatan Perdana Menteri) 

Namun terdapat pendapat songsang dan salah yang menafsirkan hak beragama seperti yang di jelaskan di dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan sebagai termasuk hak untuk tidak beragama dan kepercayaan kepada Tuhan juga merangkumi tidak percaya kepada Tuhan.

Tafsiran songsang itu tidak benar kerana asas pengertian sesuatu undang-undang itu mestilah, pada mulanya, dicari dalam bahasa undang-undang itu ditulis, dan jika bahasanya terang dan jelas, maka kewajiban tafsiran tidak timbul dan fungsi tunggal mahkamah adalah untuk menguatkuasakannya mengikut istilahnya.

The 1917 American case of Caminetti v. United States had held that “it is elementary that the meaning of a statute must, in the first instance, be sought in the language in which the act is framed, and if that is plain… the sole function of the courts is to enforce it according to its terms.” And if a statute’s language is plain and clear, the court further warned that “the duty of interpretation does not arise, and the rules which are to aid doubtful meanings need no discussion,”

Jelasnya tafsiran undang-undang tidak boleh dibuat dengan sesuka hati, apalagi dengan menambah perkataan yang tidak ada tertulis di dalam undang-undang itu, dalam hal ini, di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Inilah nilai dan fahaman songsang golongan liberal yang mahu merosakkan tatasusila dan tamadun rakyat Malaysia untuk membebaskan diri daripada undang-undang agama yang akhirnya mennghakis sifat ketamadunan masyarakat kita.

Menurut seorang lagi pakar Perlembagaan Prof. Dr. Shamrahayu Abd. Aziz, hak asasi hanya boleh menjadi hak apabila ianya tidak melanggar undang-undang, maka mereka yang berfahaman ateis tiada hak dan tidak boleh menuntut hak mereka kerana Perlembagaan Persekutuan hanya mengiktiraf rakyat yang beragama.

Sesungguhnya dengan nama Tuhanlah, Bangsa dan Negara ini diwujudkan sebagai sebuah Bangsa dan Negara yang berdaulat, maka jelaslah fahaman ateisme yang tidak percaya kewujudan Tuhan mencabar dan menjejaskan kedaulatan negara.